BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, January 15, 2011

Apabila cinta tiada lagi

Orang kata masa bercinta semuanya indah. Bila ditanya, pasangan kekasih pantas memberi ulasan. Kata-kata melankolik dan retorik menghiasi dunia percintaan. Ketika itu perkara remeh temeh tidak dihiraukan. Kalau di marahi kerana terlewat atau terlupa, tidak mengapa. Sedikit rasa marah terubat dengan pujuk rayu.

Di awal percintaan, pasangan kekasih sanggup sehidup semati, segala sifat buruk di simpan rapi. Yang ditampilkan semuanya baik-baik. Makan penuh beradap, tutur kata penuh tertib, penampilan cantik atau segak.

Segala rahsia percintaan disimpan berbunga di dalam hati. Jika ada yang bertanya akan terpancul susunan ayat seperti ini. Kami serasi, saya telah bertemu pasangan bidup, dia seorang penyayang, penyabar dan pelbagai lagi. Tidak ada kata-kata nista semasa bercinta. Yang ada hanya kata-kata pujian dan ayat-ayat cinta yang mampu mencairkan perasaan. Masa bercinta juga sarat dengan taburan janji.

Sanggup meredah lautan api, jika si kekasih mahu menikmati secangkir kopi, biar pon hujan lebat sanggup saja dituruti. Janji diukir umpama memahat pokok getah tanpa memikirkan kesanya akan kekal di situ selagi pokoknya tidak tumbang.

Semuanya boleh dilaksanakan. Tiada yang tidak boleh, tiada yang mustahil, tiada juga halangan. Taburan janji umpama butiran pasir di pantai – tanpa di sedari akan ada ombak yang datang membawa bersama pasir-pasir itu.

Boleh saja dikatakan orang bercinta umpama lupa kepada dunia realiti. Lupa, bahawa bukan semua percintaan akan berakhir di gerbang perkahwinan dan tidak semua perkahwinan akan kekal selamanya.

Sebab itu apabila kasih mula menghambar dan cinta semakin pudar, ada pasangan kekasih lupa rutin semasa bercinta. Segala rasa sayang, sekelip mata bertukar benci. Semua janji terlerai tanpa ada satu pun yang melekat di hati. Yang dulu serasi bertukar benci, kalau dulu sangat memahami kini semuanya tidak dimengerti.
 Lebih memedihkan pasangan bercinta hanya sedar tentang realiti apabila putus cinta. Semua perangai buruk yang ketika bercinta boleh ditolak tepi muncul satu persatu menambah sakit hati. Keadaan itu berlaku terutamanya apabila bekas kekasih ada pasangan baru. Kalau dulu pasangan kekasih mahu berkongsi keceriaan dan keindahan bercinta dengan dunia, kini sebaliknya.

Segala sifat buruk bekas kekasih tidak lagi bertakhta di hati. Semuanya didedahkan, tanpa ada rasa bersalah dan tidak di ketahui apa matlamatnya. Mungkin tidak mahu orang lain jatuh hati kepada bekas kekasih atau sebagai peringatan kepada bakal kekasih agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.

Ketika itu tidak timbul lagi soal menjaga hati. Sedangkan sepatutnya apa pun yang terjadi – samada bahagia atau derita di penghujung kisah cinta – tidak boleh dijadikan alasan untuk berpaling tadah. Bukan juga alasan untuk memburuk-burukkan pasangan apatah lagi menerusi media yang menjadi tumpuan umum.

Hakikat masam dan manis percintaan mesti diterima. Mendedahkan keaiban bekas pasangan bukan kaedah terbaik untuk memadamkan kisah cinta yang sebelum itu disulam indah. Ia juga tidak akan membantu memperbaiki hubungan yang telah terputus sebaliknya akan menambah buruk keadaan. Jika cinta tiada lagi, maka biarkan ia berlalu pergi. Jangan diungkit segala sakit hati dan cuba mendedahkan keaiban bekas kekasih. Natijahnya tidak mustahil sat hari nanti keburukan diri sendiri akan tersebar luas. Bercinta untuk bahagia, tetapi tidak bercinta pun belum tentu tidak bahagia. 

Ini kerana cinta membawa maksud yang sangat luas. Dan kebanyakan cinta tidak bertahan lama. Ada jodoh menjadi penentunya dan ada ajal yang menjadi pemisah. Justera hakikat cinta mesti diterima. Jika kita sedia untuk bercinta maka kita mesti bersiap. Bersiap untuk hanyut dalam keindahan bercinta, mengharungi segala rasa sakit hati dan membendung rasa benci.

oleh Noraini Abd. Razak: Utusan

0 comments: